Followers

Monday, February 24, 2014

Hikayat Muncung Negro

Salam........,

Satu hari aku melihat orang duduk duduk di kantin, waktu itu jam 8.25 pagi. Aku mengalihkan kereta berdekatan kantin itu. Namun sebelum sempat aku bangun dari tempat dudukku, mereka yang duduk dikantin itu terus bangun meninggalkan meja. Wah.... betapa mulianya hati mereka mengosongkan meja itu.

gambar hiasan

Hari ini aku lalu di tepi kantin yang sama pada jam 8.30 pagi.... Wah mereka masih duduk duduk di kantin tersebut. Nampaknya hari ini hari yang baik juga. Aku tidak singgah dan mereka pula masih belum puas makan sebelum memulakan kerja jam 8.00 pagi....

Orang dolu dolu kata " kita ini seperti melukut di tepi gantang" Ada pun tak berguna, manakala kalau tak ada pun , memang tak jadi apa apa....

Sebenarnya di dalam badan kita ini adakalanya mata kita dan hati kita jadi benda tak berguna. Mata kita memandang orang dengan pandangan yang hina, manakala hati kita bercakap dengan tak perlu disuruh, ada sahaja ulasan buruk buruknya.

Seperkara lagi kita selalu rasa kita lebih besar dari orang lain......


Kita tenguk orang bawahan kita kecik kecik sahaja tetapi kita selalu terlupa bila orang bawahan kita berhenti kerja, mereka akan jadi orang besar besar dengan sebab mereka dah rasa dirinya tak kena mengena lansung dengan kita....

Kepada saudara sedari di luar sana, kalaulah bangkai sedara sedari boleh membungkus diri sendiri dan jatuh bergolek golek ke dalam kubur, maka dipersilakanlah menyombong diri dengan hidung setegak tegaknya.Kalau rasa tidak boleh, eloklah bermasyarakat dan berpakat pakat bersatu hati dan bukan mengajak berpecah belah, muncung sana muncung sini menunggu saat muncung anda dipancung...


Janganlah menyangka bahawa bibir anda tu tebal sangat sangat.......


Sunday, February 23, 2014

Mengidam Makan

Salam.........,

Cerita sedikit pasal makan.............

Sejak dari mula mula sampai ke Madinah, pm begitu berjaga jaga tentang soal makan. Perut rasa tak sedap je dan makanpun ala kadar bagi mengenyangkan perut. Bila tenguk benda makan, susah hatilah dibuatnya....


Gambar ini sewaktu nak balik di lapangan terbang King Abd. Aziz. Hanya beli roti tanduk tu, sedikit kentang goreng dan air teh sudah terkena 31 Rial....Memang tak kenyang tapi tekak mahu makan...


Makanan ini di dalam hotel di Madinah....ada kueh popia, ada kentang ada nuggud, nasi kuning nampak kering sahaja dan TELOR....TELOR arab ni memang warna putih, pm ingatkan telor masin atau telor itek. Kering tak berkuah dan tolaklah ke dalam tekak perlahan lahan.


Ini gambar kakak ipar pm, selera pulak dia makan. Alhamdulillah, tekak dia boleh terima....


Yang inipun lebih kurang sama jugak bila berada di Mekah, kismes je yang menarik. Maksudnya dalam pinggan memang tak penuh apatah lagi air minuman bancuh sendiri.....


Bersetentang masjidi ada komplek besar berdekatan jam besar tu....di sana pm dapat melepaskan kerinduan untuk minum teh tarik serta roti canai walaupun harganya 3 rial tiap tiap satu....



Alangkah baiknya kalau di negara arab tu ada orang jual kueh APAM. Dah tentu arab yang jual APAM akan dipeluk peluk oleh orang Malaysia


Pm nak nasihat sikit, kalau sampai ke sana, mulut janganlah gatal gatal menyebut sakit perut dan tak selera makan, nanti korang betul betul tak selera sampailah balik ke Malaysia....

Sampai hari ini pm masih belum membeli buah cempedak untuk di goreng kerana pada ketika pm melepasi kawasan ini pm terbau cempedak bukan main sedap sekali... Ada ke Arab kat sana jual cempedak goreng ?



Kalaulah ada.....tolong kasi tau kekawan yang lain......




Saturday, February 22, 2014

Pesanan Untuk Anak Anak

Salam,

Dalam lupa lupa juga masih juga teringat....

Bila motor ice cream lalu di hadapan rumah..." oppppppp ..top top" budak kecik tu menjerit. Lelaki membawa motor ice cream berpatah balik ke pintu rumah. Mahu tak mahu dibelikan juga sebab budak budak dah cakap " top"........



Ketika berjalan jalan merentasi rumah orang....." his" kata anak yang sorang ni....Esoknya pula bila berbasikal ke pasar " hissssss" dia berbunyi lagi dari tempat duduk belakang. " Kenapa dik" ibu bersuara. " Rumah orang tu ada kereta besar besar, ada sebijik ada dua bijik, kenapa kita ada basikal aja" katanya.

"Kita orang miskin, manalah mampu beli kereta" kata ibunya memberi jawapan yang paling tepat..........



Bila anak sudah besar besar, bersyukurlah dengan apa yang ada, berbuat baiklah dan bersatulah adik beradik. Bila dah berjalan jauh jauh jangan lupa balik ke rumah, bila sudah beristeri, bergirlfriend jangan lupa rumah tempat membesar semua adik beradik. Mana yang senget benget perbetulkan, mana yang suka tak suka diperbaiki........Ingatlah tempat tidur, bantal busuk.... Hari ini kalau orang pandang kita semua dengan sebab kita sudah mulai mempunyai apa apa akan tetapi asal kita tetap orang kampung yang tidak mempunyai apa apa..


Wednesday, February 19, 2014

Janji Kekasih

Salam,

Andainya manusia tahu tentang kelebihan baitullah itu, sudah pasti mereka berebut rebut datang walaupun terpaksa merangkak...........

Semalam pm berkesempatan melawat sepupu lelaki pm yang sedang dirawat di Hospital Ampang Puteri. Beliau kini masih berada di unit rawatan rapi setelah menjalani pembendahan. Dengar khabarnya ada 3 saluran jantung tersumbat. Bila ditanya bagaimana boleh terjadi, beliau sendiri tidak tahu nak jawab kerana baginya semua berlaku dengan spontan. Beliau datang ke hospital kerana hendak membuat pemeriksaan sahaja. Tiba tiba sahaja berita itu dia dapat......Kalau dilihat dari tubuh badan dan beliau juga seorang yang aktiv bersukan tentu kita tidak menyangka sama sekali......Dimana pula jawapanya.


Menurut kata salah seorang cikgu pm, kita harus selalu berzikir kerana zikir boleh membersihkan jantung, selain dari itu kita kena selalu bersangka baik.... wallahualam..

Selepas menziarah sepupu pm, kami mencari kedai makan di kawasan Ampang juga. Singgahlah di salah satu restoren mamak anak mami. Sedap juga makan nasi dengan hati ayam, manakala kuah kari bercampur campur melimpah di dalam pinggan. Selepas makan, mamak itu datang mengira makanan kami.Tak mahal pun tetapi jawapan soalan tadi sempat dijawab oleh mamak berkenaan.

Menurut katanya dia sudah 2 kali melalui pembedahan. "Allah mahu kasi" katanya. " Kita orang Islam kena percaya dan kena terima" katanya lagi. Kawan sebelah dalam gurauan berkata " mamak, lu tak jaga makan ka".............." Allah sudah mahu kasi, dalam perutpun sudah janji" mamak memberi jawapan mudah.

Pm tersenyum mendengar jawapannya namun kata katanya terus menjadi kenangan" Allah mahu kasi"...Entah berapa ramai diantara kita yang sanggup terima pemberian Allah. entah berapa ramai yang mahu percaya tentang janji Allah kalau lansung tak pernah tahu..........

Terpulanglah kepada tuan tuan.......

Dalam gitu gitu itu pm pula sedang menunggu beberapa hari untuk meraikan pertunangan anak lelaki. Anak pm risau, orang di rumah juga risau. Risau takut tak ada yang tolong, maklumlah di tempat pm ini disebut orang sebagai tempat jin bertendang. 



Pm kata" Kalau Allah nak raikan semuanya akan terjadi". Bahawa selama ini pun ada orang tolong memasak, bahawa selama ini pun ada orang datang berziarah dan bukanlah JIN jin yang sibuk bertendang terajang. Kalaulah adik beradik kita sibuk atau berasa jauh nak datang menjenguk kita, biarkan sahaja dan jangan dipaksa. Baitullahpun belum tentu orang dapat datang melakukan haji dan umrah. Redholah diatas pemberian Allah....Wallalhualam.....

Tuesday, February 18, 2014

Soal Hati

Salam,

Berbahagilah bagi saudaraku yang mendapat umrah yang mabrur.......................

Sepertinya berpuasa, di Kota Mekah kita menjaga mulut kita dan nafsu kita. Namun kekadang kala benda benda yang terbiasa itu terjadi juga. Ada orang kelihatan marah marah meluap luap macam pelik sahaja, ada yang sombong bukan main sekali. Ada pula lagaknya mementingkan sangat diri sendiri, ada yang sangat bergaya. Ada pula shopping gila gila sampai menambah nambah beg. Ada yang siang malam kerjanya tawaf sahaja, bahkan umrahnya melebehi 7 kali. Kenapa agaknya terjadi begitu. ?



Kelakuan yang pelik pelik ini bertambah pelik lagi terjadi selepas pulang dari umrah. Ada yang menyerlahkan sikap tidak puas hatinya setelah pulang dari umrah. Bahkan ketika berada di hadapan Kaabah mereka juga berdoa yang bukan bukan ditambahi pula kehendak keduniaan. Seolah olah Kaabah bakal memberi sesuatu kepada mereka.




Benarlah kata orang bahawa sebelum kita pergi menunaikan haji atau umrah, kita harus banyak belajar. Bukan sahaja belajar hukum dan baca baca doa tapi juga bab bab akidah supaya tidak lari dari tajuk. Kita bukannya hendak pergi bersukan kejar mengejar di sana. Waktu solat telah ditentukan, lambat dan cepat anda ke masjid itu terpulanglah. Abang sulong pm memilih jalan memikul jenazah bagi memudahkan beliau keluar dan masuk masjid. Akal begitu boleh dipakai juga.

Anda tidak perlu memeluk kaabah, bergantung di batu hajar aswad atau berbaring di dalam raudah. Anda juga tidak perlu sujud betul betul di kaki kaabah. Semua orang rindukan kaabah, semua orang mahu melihat kaabah tapi jangan anda menjadikan batu itu sebagai sembahan dan jangan pula kata tuhan tinggal di dalam kaabah. Maka dikala itu jagalah hati, ingatlah pesanan pesanan  guru guru tauhid.

Mudahan mudahan bagaimana baik baiknya kelakuan sewaktu mahu bertolak, begitu jugalah sewaktu berada ditanah suci, dan bertambah elok bilamana sudah pulang ke tanah air....wallahualam

Sunday, February 16, 2014

Impian Seorang Abang

Salam,

Segala pujian bagi Allah dan selawat salam kepada junjunganku Muhammad SAW........

Masa telah lama berlalu, sejarah sering dikenang kenang dan berulang ulang. Siapakah kita yang dapat menentukan syurga dan neraka atau dapat menilai dosa dan pahala. Mudah mudahan Allah Taala mengampuni dosa dosa kita yang telah berlalu dan memberi kebaikan serta rahmat dimasa masa mendatang. Amin.

Seperti yang pernah diceritakan dahulu bahawa abang pm mengajak kami semua sekeluarga adik beradik pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah Umrah. " Aku nak mengajak korang semua pergi Mekah " itulah kata katanya dalam mesyuarat adik beradik pada tahun lalu. Waktu itu ada berbagai rasa belah bahaginya, berbagai respon menarik dan kurang menarik dimana akhirnya dapat juga dihimpunkan beberapa orang termasuk sepasang suami isteri dari luar keluarga kami bagi menggantikan adik beradik yang tidak dapat pergi.


Abang sulung pm itu adalah seorang lelaki biasa yang telah mendapat rahmat menganjurkan perjalanan ini yang sebelum ini tidak pernah terfikirkan justeru kerana kemampuan ekonomi. Alhamdulillah dengan berkat doa orang orang terdahulu, segelintir keluarga kami dapat berhimpun dan sujud di hadapan baitullah.

Seperti yang pernah pm sebut dimana dalam dua bulan sebelum bertolak, abang pm telah datang bertemu pm menghadiahkan 6 buah buku bagi panduan umrah. 3 daripadanya adalah dari utas travel manakala 3 pula adalah sebuah buku solat dan 2 salinan dari buku yang beliu pakai sebelum ini. Memandang kepada keadaan buku buku tersebut memanglah pening untuk memilih mana satu. Namun seperti kata orang apalah guna ilmu yang banyak tetapi tidak memberi menafaat kepada kita. Pembuka katanya abang sulung pm menunujukkan kepada pm satu doa pendik bagi pemudah perjalananan. Hanyalah doa tersebut yang pm hapal dimana tidaklah nampak kehebatan sebutanya seperti doa doa ulama' ulama' besar. " Aku bawa teksipun baca doa ini" kata abang sulung bagi menguatkan keyakinannya....


Berbekalkan doa ini pm menuju ke baitullah setiap hari. Bahawasanya di Mekah itu manusia hidup berdoa sentiasa dengan doa doa kebaikan dan amat berbeza dengan di tempat kita bilamana doa dinyanyikan, di fb kan, dibaca panjang panjang tanpa pengertian serta kesedaran. Adakalanya pula kita tidak sedar bahawa kita sedang mengaminkan doa, tau tau dah habis pak imam baca.

Ternyata ilmu yang sedikit itu terkadang kadang lebih memberi menafaat bilamana doa dikota mekah itu menunjukkan  kita tidaklah ada syak wasangka terhadap Allah Taala. Apa yang diberikan terhadap kita adalah bahagian kita. Bayangkan di sana bukan sahaja kita akan bertemu dengan himpitan jutaan manusia dan juga suasana suasana yang tidak dijangka, bahkan panas matahari mencabar keyakinan kita terhadap tuhan. Janganlah merasa pelik jika ada orang merungut panas, merungut ditolak, merungut sakit kaki, merungut letih dan mengantuk. Ada yang sakit sehingga dimasukkan ke hospitan, ada yang terpaksa membayar beratus ratus rial untuk mengupah ditolak diatas kerusi roda. Semua itu adalah bahagian tuan tuan haji dan hajjah sekelian dalam mana memohon taubat dari Allah subhanahuwataala.




Berbekal doa tadi pm melihat dan merasai keajaiban. Kami melalui tempat sesak bertawaf dan bersai. Kami berjaya melepasi himpitan, kami merasai kesejukan kipas walaupun matahari terpacak di kepala. Dan tambah indah lagi bila pm dan para jemaah bersolat zohor serta asar ketika di atas bumbung masjidil haram, ketikanya imam memulakan solat dengan tiba tiba datanglah awan menutupi kami semua dari panas matahari, angin bertiup menyejukkan tubuh kami sehinggalah selesai solat barulah matahari muncul kembali. Kejadian itu berlaku di setiap hari ketika kami berada di kota Mekah.



Abang ipar pm pula adalah seorang yang berpenyakit gaut. Hampir setiap hari beliau minum air zam zam dan berdoa. Alhamdulillah sakitnya sembuh dan beliau dapat bersai dengan baik.


Kepada saudaraku, bersangka baiklah terhadap Allah Taala, menerima ujian dengan redho. Berdoalah meminta segala kebaikan, meminta ampun untuk diri kita, ahli keluarga kita, ibubapa, saudara mara, jiran kita, orang kampung kita dan juga kepada orang yang sedang serta pernah memusuhi kita. Mudah mudahan doa kita kabulkan serta mendapat kebaikan terhadap semua orang yang ada. 

Jika anda menempuh panas matahari, mintalah Allah sejukkan walaupun tidak lojik pada fikiran manusia. Bersabarlah dan sentiasa berbaik sangka. Semuga anda selamat dalam perjalan anda, selamat pergi dan balik, saksikanlah kerinduan di Kota Mekah itu...wallahualam...

Thursday, February 13, 2014

Hari Pertama di Mekah

Salam,

Tanggal 21 Jan 2014. kumpulan kami mula meninggalkan Madinah selepas solat zohor. Hari tersebut kami terus memakai ikhram kerana akan bermiqat di Bir Ali. Perjalanan memakan masa 5 jam melepasi waktu asar dan makan nasi arab di sebuah restoren turki di dalam perjalanan. 



Kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat isya' jamaktakhir di dalam perjalananan itu. Ramai jemaah berpakaian ikhram ditemui di sana. Suasana bilik air dan tempat berwudu' sememangnya agak sibuk. Selepas solat kami meneruskan perjalan ke kota Mekah...........

Setelah puas terlelap beberapa kali pm terlihat suasana agak sibuk di jalan raya tetapi masih belum sampai ke korta mekah. Sesuatu yang agak pelik pm terlihat di tepi bukit yang berbatu itu. Pm melihat satu longgokan cahaya bersinar keluar dari celah celah batu. Teramat cantik sepertinya batu permata yang bersinar. Waktu itu pm tidak terfikirpun untuk mengambil gambar walaupun ada membawa kamera. Subhanallah begitulah sambutan yang pm dapat ketika memasuki kota mekah.......

Jam 1030 malam kami sampai di hotel berdekatan masjidilharam terus check in dan berehat sebentar. Selepas makan kami bersiap siap untuk mengerjakan umrah wajib pada malam itu. Jam 12.00 malam kami berjalan kaki menuju ke masjid memasuki pintu 1. Pada malam itu buat pertama kalinya pm dapat melihat kaabah iaitu tempat yang diidamkan idam dan menjadi rindu dendam kepada semua umat islam. Waktu itu pm terkenang kepada semua ahli keluarga, terkenang kepada ibubapa yang telah tiada yang pernah menjejakkan kaki bersujud di hadapan kaabah. Pm teringat kepada anak isteri dan pada waktu terfikir  fikir bahawa betapa beruntungnya jikalau dapat membawa ke semua sekali ke tanah suci ini. Berbagai macam rasa melanda dan tertanya tanya" kenapa ada orang tidak dapat menjejakkan kaki di lantai hadapan kaabah ini padahal mereka benar benar mampu". Di Mekah ini telah menjadi tempat berdoa kepada semua perkara yang baik baik, membuang rasa dendam marah serta benci dan menjadikan hati sesuci sucinya.........



Kami kemudian memulakan ibadah umrah dari bertawaf sehinggalah saie dan bercukur. Jam 3.00 pagi semuanya selesai dan kami pulang berehat ke bilik. Malam itu mata tidak boleh tidur sebaliknya bersembang sehingga jam 5.00 pagi dimana kami bersiap siap pula ke masjid untuk solat subuh. 



Selepas solat subuh kami melihat deretan van jeazah di tepi jalan, seperti biasa juga ada perniaga perniaga di tepi jalan. Kami kemudiannya pulang ke hotel untuk minum pagi dan berehat. Bagi pm waktu terlalu pendik, jam 12.00 tgh kami bersiap siap pula ke masjid dan begitu juga jam 3.00 bersiap untuk ke masjid bagi solat asar. Waktu mgrib juga agak pelik iitu jam 6.00 petang. selepas solat mahrib kebiasaannya pm tidak pulang ke hotel sehinggalah waktu isya' jam 7.30 malam.......


Sepanjang masa berada di mekah pm sering brsama abang ipar pm. Kemana sahaja kami akan bersama iaitu semasa tawaf sunat atau juga ibadah umrah. Kami juga sempat singgah minum minum di sebuah restoren De' Saji milik Malaysia di bangunan sawa yang berdekatan masjidil haram


Seronoknya pm kerana disini kita tidak sibuk hal orang, kerjanya asyik berulang alik ke masjid, bersedekah sepanjang jalan. Jika terjumpa tukang sapu, tukang mop lantai tukang jaga air , kami akan bersedekah mana yang mampu begitu juga pm teramat suka jika terjumpa kanak kanak kecil....
.



Di dalam hati kita tertanya tanya juga kenapa orang tidak mahu pergi menunaikan umrah ?

1.  Mungkin tidak mampu dari segi keewangan dan kesihatan
2.  Mungkin menunggu masa tua baru nak pergi
3.  Mungkin menunggu sampai hati benar benar nak bertaubat
4.  Mungkin menunggu seru kata mereka
5.  Mungkin takut terkena bala dengan sebab terlalu banyak dosa
6.  Mungkin menganggap umrah tidak standard
7.  Mungkin menganggap umrah hanyalah pergi jalan jalan dan makan angin
8.  Mungkin lansung terfikir dalam fikiran...

Walaupun sebanyak mana mungkin terpulanglah kepada anda sekelian. Datanglah dengan hati yang suci bersih. Disini bukanlah tempat untuk menunjuk nunjuk, bukan juga untuk shopping shopppppping. Bukan tempat untuk maki hamun laki. Tapi tempat anda bertaubat dan membena kehidupan baru. Perkara yang telah berlaku biarkanlah berlalu sebaliknya bena kehidupan yang penuh bermakna selepas ini.

bersambung


Wednesday, February 12, 2014

Madinah, Aku Datang.......

Salam...........

Ada sahabat sahabat bertanya tentang wang yang patut dibawa dan begitu juga pakaiaan pakaian yang diperlukan ketika mahu mengerjakan umrah. Waktu dahulu pm selalu merujuk kepada blog penulis penulis yang berpengelaman. Pening juga dibuatnya? Yang sebenarnya situasi bagaimana ?

Pm membawa wang sebanyak 1700 Rial iaitu lebih kurang RM 1500/- dengan niat tidak mengikut cara orang membeli barang. Pm fikir banyak benda ada di Malaysia. Di samping itu juga pm ada membawa wang pemberian orang RM 1300/- yang belum ditukar lagi. Wang 1700 rial mula terpakai ketika di madinah. Pm ada membawa pakai sendiri dan disamping itu kain ihram juga ada spare sepasang kerana bimbang terkena najis. Akhirnya pm tahu bahawa untuk lelaki memadailah sepasang kain ikhram, begitulah juga dengan baju, memadailah sepasang dua untuk lelaki dan perempuan kerana pakaian berupa jubah bersepah di Madinah.




Pm berada di Madinah ketika musim sejuk, pakaian memang tidak berbau.....tidak sibuk untuk ke dobby, pakaian boleh tahan tahan lama. Suhu 16 c atau 11 c, sudah cukup memadai kita sering berselimut dengan pakaian tebal. Soal pakaian........senang sangat...




Pm nasihatkan bawalah beg yang kosong terutama kepada orang perempuan. Orang perempuan tetap akan melontar rial atau bertawaf siang malam. Semua orang menyangka bahawa barang barang di Madinah jauh lebih murah dan sampai sahaja di Mekah nanti kita cuma akan menunpukan perhatian kepada Umrah sahaja........Hanya Allah yang tahu..

Seperti biasa, mutawir akan membawa kita berziarah. Kita akan ke ladang kurma atau pasar kurma,  bukit uhud , makam para sahabat , ketempat pembuatan Alquran dan juga masjid masjid berhampiran sepanjang berada di Madinah. atau juga mekah.






Kata mutawir, bahawa di dalam kedai kurma, kita boleh makan kurma sebanyak mana mana kita suka dan ada minuman air mineral disediakan. Ada juga coklat di sana.




Tapi mana ada budi tanpa balasan........kita ingat di Mekah mahal......Rupanya kita disebelih macam unta ...Kurma nabi sahaja 120 rial sekilo ,ajwa 80 rial....Dalam bas ada 40 orang dan setidak tidaknya ada 30 orang membeli kurma lebih dari sekilo atau berbelanja 200 rial seorang... Pm pergi ke bangunan SAWA di kota Mekah....ha ha ha 95 rial je dan ada 65 rial.....Bahasa yang manis bukanlah penawar kedukaan, banyak orang menjual agama di bumi tuhan?

Sila sediakan wang kecil kerana budaya meminta tips dengan kata kata manis sudah lama ujud.... " tuan tuan haji sekalian, dengan rezeki yang diberi oleh Allah kepada kalian, barang siapa ingin bersedekah kepada pak supir (driver) bolehlah bersedekah sewaktu turun dari bas nanti"........ Nama aja sedekah, diam ajalah dan redho walaupun pak supir itu bukan orang melarat bukan orang yang layak menerima sedekah. Kalau di Malaysia, pak supir memang dah ada gaji dan tak perlu meminta minta. Tiap kali naik bas untuk melawat, seruan sedekah akan anda dengar....." haji haji dan hajjah hajjah sekelian" 


Tuan tuan, pm masih menyebut tentang Madinah dan belum lagi sampai ke kota Mekah. Indahnya madinah itu kerana masyarakatnya yang baik baik. Walaupun  mungkin berlainan bangsa tapi masih ada yang bertegur sapa. Perniaga di kaki lima tetap boleh berbahasa melayu walaupun sedikit sedikit dan rata rata orang Malaysia tidak banyak masaalah. Bagaimana denga peminta sedekah ? Terpulang kepada tuan tuan....tapi di Madinah pm telah mula belajar " tidak pandai berbahasa Inggeris" Rasanya lebih selamat mengelengkan kepala terutama pabila berdepan dengan bangsa pakistan dan india.....Kalau dilayan banyak pula kisah sedihnya...........................nanti tuan tuan tak mampu membantu bila mereka minta bergandan ganda dalam linangan air mata.......sedihnya...

Sunday, February 9, 2014

Ujian Di Kota Madinah

Salam.........

Tuan tuan sedia maklum pabila menyebut sahaja soal menunaikankan Umrah tentunya ada banyak perkara berselindung di belakangnya. Ada berbagai komen dari orang orang kita, ada yang kata buatlah haji dahulu barulah kita sibuk sibuk pergi umrah. Ada yang kata umrah tu tak standard dengan sebab pergi berjalan jalan sahaja tanpa dapat apa apa. Ada yang hendak pergi dengan begitu bergaya dimana mereka menempah hotel yang mahal dan berkemudahan segalanya.

Ada yang menghapal doa bagai nak "rak" dan kalau kita dengar pun terasa kecik diri kita almaklumlah kita ni tak reti baca jawi. Ada yang kita tenguk bukan main taat beribadat, almaklumlah nak bersuci hati. Begitulah juga kita di datangi oleh kawan kawan sahabat handai meminta kita berdoa dimasjid nabawi masjidil haram di hadapan Kaabah dengan berbagai hajat mereka. Semua itu berlaku kepada semua orang dan tidak kurang juga kepada pm.........


Dalam diri pm pula pm ingin memohon kepada Allah agar pm selalu mendapat ilmu yang yakin dari Allah sehinggalah tiba tiba pm mendapat ujian berat ketika 2 hari berada di Madinah. Waktu itu adalah waktu asar dimana dengan tiba tiba pm menerima sms dari seseorang dengan penuh kata maki hamunnya dimana dia menuduh pm dengan tuduhan yang memalukan.... Semuanya kerana sms yang berakhir kata " doakan saya" Sang suami itu menudh pm mengganggu isterinya...Masyaallah....pm bukan hanya dapat sms dari seorang tapi juga ramai, semuanya mahu doa kebahagian dan berbanding dengan seorang ini lain pula caranya. Untuk melegakan salah faham pm meminta maaf kepadanya. Sebaliknya pm mnerima timbunan maki hamun serta ugutan pula......Akhirnya pm padam terus nama mereka........

Sungguhpun begitu pm berasa amat malu dan berduka cita, pm berdoa kepada Allah untuk mendapat keselamatan dan tidaklah ada kuasa manusia walaupun sedikit yang boleh memberi kebinasaaan. apa yang berlaku itu sudah dikira sebagai fitnah dunia yang pertama buat pm ketika di kota madinah.....

Sebagaiamana Allah berfirman:
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ (22) لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آَتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ [الحديد/22، 23]
”Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira  terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”.