Kali pertama benar benar aku mula masuk ke kawasan Chow Kit Kuala Lumpur adalah pada tahun 2007 iaitu pada masa aku mula mula bekerja. Selain dari itu sebelumnya hanyalah berjalan jalan di jalan besar iaitu Jalan TAR. Banyak aku dengar berkenaan Chow Kit ini tapi pada tahun 2007 aku tenguk macam biasa sahaja dan tidak seperti yang digembur gemburkan. Kalau setakat ayam itek pondan , mat pit, kaki paw itu biasa sahaja bagiku. Cuma di tempat orang melayu ni, ceritanya agak melebih sikit.
Di tempat kerja aku banyak orang menginap, maklum sahajalah hotel. Ada diantara dia orang suka mencari pasal masuk ke lorong lorong sundal. Akhirnya wang ringgit kena samun, kena curi kemudian balik ke hotel mengadu cerita bodoh mereka. Kalau pergi balai polis membuat laporan tentulah kerjanya sia sia sebab penyamun memang tidak akan tunggu di satu tempat. Bermula dari itu aku mula berkenal dengan seorang lelaki yang bernama Pak Lias. Dia membuka ruang bagiku mengenal geng kaki penyamun itu. Itupun setelah budak budak aku yang berani mengetuk rumah rumah sundal untuk mendapatkan duit yang dicuri. Memang geng itu marah sangat ketika itu, bawa parang diatas motor mencari kami. Namun setelah bertemu Pak Lias, puak ini menjadi lembut dan maklumkan bahawa kalau terkena masalah itu terhadap tetamu hotel kami, mereka akan bekerjasama. Maka selesailah perkara itu...........
Hampir setiap hari aku makan di sebuah kedai Acheh, kerana kesukaanku adalah makan perut lembu masak lemak. Arwah kawan aku bernama Mohd Nor sering makan bersama, hari ini aku bayar, esok dia bayar makan kami, begitulah seterusnya. Bercampur orang Acheh ini tidak ada masalah, dia nak buat apa dia punya pasal tapi jika pihak mereka hendak tutup jalan kerana ada perayaan dan melibatkan jalan kami, mereka akan bersopan datang berbincang.
Akupun tidak banyak masalah kerana Ketua Balai Polis Chow Kit pada masa itu adalah kawan aku juga. Disamping itu aku banyak kenalan dari DBKL, Alam Flora, Bomba, PDRM, JKKP, KKM yang memudahkan kerja aku sepanjang 10 tahun iaitu sehingga 2016. Penghujung 2016 itu aku berhenti kerja kerana hotel tutup dan berehat di rumah, kerja sikit sikit , pergi umrah dan sebagainya.
Tahun 2017 aku di panggil semula ke tempat yang sama dan bekerja hampir 2 tahun sehingga kini dan akan menamatkan perkhidmatanku tak lama lagi.
Dalam gelak ketawa, hidup ini berlalu begitu sahaja. Aku tak jumpa apa yang aku kejar dan tak tahu apa yang aku cari. Cuma sekadar kerja dapat duit, hidup berbelanja berpakaian berkeluarga. Aku tidak seperti orang lain yang banyak mengumpul harta, beli kereta dan rumah yang banyak.
Aku sudah jumpa geng mengumpul duit, kerja kuat menipu sana sini, telan apa sahaja yang tidak pernah cukup. Kelihatan dia senang, boleh beli kereta, beli rumah, berjalan jalan ke luar negara bersama sama keluarga. Dia nampak sihat sahaja dan tidak seperti yang selalu diceritakan dalam drama yang mana orang seperti ini mati terbenam dalam tanah separuh badan.
Aku juga jumpa, orang yang membeli rumah ayam, lalu membena surau di atasnya, selalu pergi ke Mekah ulang alik kerana berniaga. Aku juga jumpa kedai mamak yang saling bertukar orang setiap setahun atau 6 bulan, lesen kedai entah nama siapa tapi kerap balik India. Aku jumpa juga orang asyik makan free berkumpulan tapi sorang je bayar untuk dirinya, padahal tuan kedai tak boleh bertindak apa apa.
Semua ini adalah kedurjaan hidup manusia yang tidak boleh kita hukum syurga dan nerakanya..... Hidup ini pantas, patah tumbuh hilang berganti. Ada sahaja orang tergolek mati di lorong tanpa keluarga. Sesudah mati itu, dia tak perlu fikir apa apa, nak makan apa, sebaliknya orang yang hidup masih perlu berjuang,kayuh rompak tipu apa yang ada. Yang hidup perlu memfitnah orang membusukkan , menindas orang untuk terus bahagia.
Siapa mahu jadi orang baik, dipersilakanlah........kejujuran memang tidak dapat membeli kebahagiaan dunia. Orang masjid dan surau akan mencuri duit dalam tabung kerana memikirkan keperluan sendiri. Semua itu adalah nafsu yang wujud sejak dari dalam perut ibu. Mereka bersolat ramai ramai, bermaksiat juga ramai ramai sehingga disuatu hari datang pertunjuk sebelum nyawa dihujung kerongkong.
No comments:
Post a Comment