Dia ibuku. Sudah 4 tahun meninggalkan kami semua dan pasti tidak akan kembali lagi buat selama lamanya. Yang tinggal cumalah kenangan silam, kenangan yang membuat hati kerinduan pada saat saat lampau yang tidak akan berulang lagi. Masih kuingat lagi tentang ibu yang sering menceritakan kisah Si Tenggang, kisah Batu Belah Batu Bertangkup supaya anak anak sentiasa mengasihi ibubapa, supaya anak anak sentiasa menghormati orang tua.
Sepertinya kata orang " waktu kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang" Begitulah hidup kita hari ini yang berjuang untuk diri sendiri. Sewaktu ibu masih hidup, semua ahli keluarga sering berkumpul tetapi setelah ketiadaannya, semuanya telah berubah dan tidak bersama sama lagi. Masing masing sudah membawa diri sendiri dengannya ahli keluarga masing masing. Bahkan waktu sakit pening juga jarang sekali kedengaran beritanya.Ada yang kita kenal anak cucunya atau ipar duainya, sehingga bertemu berlaga hidung dipasar tidak ketahuan siapa dia.Begitulah dunia sekarang yang semakin maju dan canggih dimana manusia tidak memperdulikan jiran tetangga saudara maranya yang dekat dan jauh.
Masih teringat masakan ibu yang sukar ditemui sekarang walaupun yang memasaknya adalah puteri raja dari kayangan. Dahulunya waktu sakit , memadai ibu memegang memicit kepala , terasa ringan mudah sembuh tanpa ubat dan jampi serapah. Pada hari ini kalau sakit, carilah ubat sendiri, makanlah ubat segala yang ada. Sembuhnya tidak , bertambah sakit lagilah ada. Kata arwah guruku, beruntunglah dan kayalah orang yang punya ibu kerana ibu adalah penawar segala penyakit. Tapi sekarang ada orang tidak memperdulikan ibunya, ada ibu pula tidak memperdulikan anaknya. Disepak dibuang merata rata. Pada hari ini telah tiada tempat mengadu mencurah rasa walaupun ada kekasih tercinta, walaupun ada teman untuk berbicara. Kata orang juga kasih ayah masa berada , kasih ibu bawa ke syurga.
Dengarlah wahai anak anak, biarpun buruk rupa miskin dan hina , ibu kita tetap ibu kita yang tak kan kita temui dimana mana dan tak kan dapat diganti dengan sesiapa. Kepada mereka yang kaya, mereka yang telah senang hidupnya, mereka yang tinggi pangkatnya..... pulanglah ..... pulanglah kepada ibu masing masing. Sambutlah Ramadan sambutlah Syawal bersama mereka kerana tahun hadapan belum tentu lagi dapat berjumpa dan makan bersama.
Semuga Ramadan ini memberi berkat kepada kita semua dan memberi peluang kita membena hidup yang baru. Amin
1 comment:
Salam,
Betul bila mengadu sakit pada ibu...cepat terasa sembuhnya..
Post a Comment